
KUALA LUMPUR: Kebanyakan sektor perniagaan di Malaysia mencatatkan prestasi pendapatan yang kurang memberangsangkan bagi suku kewangan berakhir Jun 2023 dan berada lebih rendah daripada unjuran yang ditetapkan oleh pasaran.
Penganalisis RHB Investment Bank, Alexander Chia, berkata walaupun secara umumnya prestasi kewangan kebanyakan sektor menepati jangkaan, tetapi realitinya adalah lebih suram.
Beliau berkata, tujuh daripada 18 sektor mencatat angka pendapatan yang rendah dan beberapa semakan menurun dibuat ekoran pendapatan kasar serta pendapatan bersih yang lemah.
“Nisbah keputusan yang tersasar berbanding yang menepati jangkaan menunjukkan sedikit penambahbaikan, namun pendapatan bagi suku kewangan berakhir Jun adalah lebih rendah suku ke suku dan tahun ke tahun.
“Semakan pendapatan merekodkan trend negatif, biarpun kebanyakan potongan yang dibuat adalah untuk tahun kewangan 2023.”Kerapuhan pendapatan syarikat itu juga membataskan potensi kenaikan asas untuk pasaran saham tempatan. Justeru, sasaran FBM KLCI akhir 2023 dikekalkan pada 1,500 mata,” katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini.
Chia berkata, 48.5 peratus daripada syarikat dalam liputan melaporkan pendapatan yang mencapai jangkaan, manakala 38.5 peratus lagi tersasar daripada unjuran.Katanya, nisbah keputusan yang tersasar berbanding yang menepati jangkaan bertambah baik menjadi 2.9, daripada 3.6 pada suku pertama lalu.”Hanya satu sektor, iaitu perjudian yang mengatasi jangkaan manakala tujuh sektor lain mencatat keputusan menghampakan iaitu perladangan, minyak & gas (O&G), pembinaan, penjagaan kesihatan, utiliti, produk getah dan bahan asas.
“Secara mutlak, sektor perladangan, O&G, perbankan dan produk getah menerima pemotongan anggaran pendapatan yang paling banyak,” katanya.
Penganalisis Affin Hwang Investment Bank, Kevin Low pula berpandangan keputusan kewangan suku kedua 2023 walaupun lemah tetapi lebih baik sedikit daripada suku sebelumnya.
Beliau berkata, secara keseluruhan, prestasi korporat tempatan sedikit mengecewakan dan syarikat yang mengatasi jangkaan berbanding suku sebelumnya juga masih kecil iaitu hanya 23.3 peratus berbanding 22.3 peratus pada tiga bulan pertama tahun ini.
Katanya, dalam konteks yang lebih besar, terdapat lebih banyak lagi kejutan positif, namun hanya tertumpu kepada lima sektor bukan utama.