comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Prestasi kewangan Petronas pecah rekod,untung bersih lonjak 100% tahun lalu

Oleh Amanda Lopez

KUALA LUMPUR: Untung bersih PETRONAS melonjak 100% kepada RM101.6 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY2022) berbanding RM50.9bilion tahun sebelumnya.

Bagi tempoh dikaji, pendapatan syarikat minyak dan gas itu meningkat 51% ke RM375.3 bilion berbanding RM248 bilion dicatat tahun 2021.

Prestasi memberangsangkan itu dipacu kesan harga yang lebih baik bagi produk utama seiring dengan harga penanda aras yang lebih tinggi.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, berkata “Tahun 2022 membolehkan kami memanfaatkan lonjakan minyak dan gas. Tahun lalu juga memberikan isyarat ketidaktentuan terhadap permintaan-bekalan yang didorong oleh peralihan mendadak dalam pasaran serta peralihan tenaga yang dipercepatkan.”

Katanya, “Walaupun kami maju dengan kedudukan yang lebih kukuh, PETRONAS akan terus memantapkan rantaian nilai bersepadu kami dengan tumpuan yang lebih memfokuskan kepada kecemerlangan komersial dan operasi.”

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan prestasi kewangan tahun kewangan 2022 syarikat minyak dan gas itu.

Pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasannya (EBITDA) juga melonjak 70% ke RM170.7 bilion.

Pelaburan modal (CAPEX) pula meningkat 65% ke RM50.1 bilion, disumbangkan projek huluan dan hiliran.

Jumlah Aset pula diperkukuhkan kepada RM710.6 bilion setakat 31 Disember 2022.
Dengan itu ekuiti pemegang saham meningkat kepada RM401.6 bilion ekoran keuntungan yang lebih tinggi direkodkan tahun lalu.

Dalam pada itu, PETRONAS membayar sebanyak RM50bilion dividen kepada kerajaan.

Bergerak ke hadapan, PETRONAS akan terus melaksanakan pengurusan kewangan yang berhemat dan disiplin yang tegas dalam melabur semula untuk menyediakan keselamatan tenaga
yang diperlukan serta untuk peralihan yang adil dan bertanggungjawab.

Sementara itu, industri minyak dan gas berpotensi menyaksikan harga menyederhana pada 2023 berikutan jangkaan kelembapan ekonomi, meskipun berdepan dengan cabaran ketidaktentuan pasaran yang berpanjangan.

Dalam persekitaran ini, PETRONAS akan terus memacu kecemerlangan operasi dalam perniagaan terasnya sambil memenuhi sasaran pertumbuhan dan kemampanannya.

Loading...
Terkini