comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Prestasi kewangan TM diunjur kukuh sehingga 2023

KUALA LUMPUR: Pendapatan kukuh Telekom Malaysia Bhd (TM) dijangka berterusan sehingga 2023 apabila aktiviti ekonomi terus pulih, demikian menurut Kenanga Research.

Firma penyelidikan itu dalam satu nota pasaran berkata, pendapatan Unifi masih mampan menerusi penembusan pasaran besar-besaran berikutan pengembangan rangkaiannya di seluruh negara telah lengkap selain liputan 4G selanjutnya.

“Pembukaan semula ekonomi meningkatkan pendapatan perniagaan ke perniagaan (B2B) apabila sektor korporat, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan kerajaan terus meningkatkan pendigitalan mereka.”Penggunaan 5G dijangka meningkatkan lagi jualannya sebagai penyedia infrastruktur rangkaian pilihan negara,” katanya.

Kenanga Research berkata, cadangan semakan di bawah Standard Mandatori Mengenai Harga Capaian (MSAP) dijangka mengurangkan harga borong pada tahun kewangan 2023, tetapi kesannya akan diimbangi oleh permintaan yang lebih tinggi berikutan penggunaan 5G dan pukal yang menarik.

Firma penyelidikan itu menambah, TM telah membuat semakan semula bagi panduan pertumbuhan pendapatan tahun kewangan 2022 kepada paras pertengahan hingga tinggi satu angka berbanding paras rendah hingga pertengahan satu angka, serta pendapatan sebelum faedah dan cukai (EBIT) tahun kewangan 2022 kepada lebih RM2.36 bilion berbanding RM1.8 bilion.

Oleh itu, Kenanga Research meningkatkan unjuran pendapatan tahun kewangan 2022 TM sebanyak 24 peratus kepada RM12.42 bilion, manakala jangkaan pendapatan tahun kewangan 2023 dinaikkan sebanyak sembilan peratus kepada RM12.82 bilion.

“Kami mengulangi panggilan ‘outperform’ terhadap TM dengan harga sasaran RM8.30, meningkat empat peratus daripada RM7.95.”Kami menyukai TM kerana kesan positif dalam ruang digital apabila ekonomi dibuka semula, liputan rangkaian yang dipertingkatkan di seluruh negara meningkatkan permintaan internet daripada orang ramai dan perniagaan dan tawaran kompetitif dengan ketersediaan tambahan 5G,” tambahnya.

Sementara itu, MIDF Research berkata, TM, sebagai penyedia perkhidmatan gentian pilihan, akan meneruskan penggunaan infrastruktur gentian 4G dan 5G serta menggalakkan kerjasama dengan penyedia perkhidmatan domestik, yang sejajar dengan inisiatif Jalinan Digital Nasional (JENDELA) kerajaan.

Firma penyelidikan itu berkata, perkhidmatan pemajakan gentian 5G (bernilai RM2 bilion dalam tempoh 10 tahun) untuk keperluan infrastruktur 5G Digital Nasional Bhd (DNB), adalah bukti komitmen TM terhadap perkongsian infrastruktur dalam membolehkan penyelesaian dan perkhidmatan tanpa wayar yang cemerlang. – BERNAMA

Loading...
Terkini