comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Prestasi kukuh Bursa Malaysia bukti keyakinan pelabur terhadap Ekonomi MADANI – Amir Hamzah 

Oleh: Nurin Farhana Rishdy 

Prestasi Bursa Malaysia yang mencatat rekod tertinggi baru baru ini membuktikan langkah progresif di bawah kerangka Ekonomi MADANI terus memacu keyakinan pelabur.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, ini adalah bukti daya tahan pasaran yang kukuh meskipun berada di tengah-tengah ketegangan geopolitik semasa.

“Dengan lonjakan tinggi Bursa Malaysia (FBM KLCI) pada 1,600 mata dan kapitalisasi pasaran mencecah RM2 trilion, ia telah menujukkan kekuatan ekonomi Malaysia” katanya.

Tambahnya, pembangunan pesat pasaran modal Malaysia mencerminkan komitmen yang kukuh untuk mendorong pertumbuhan, inovasi dan daya tahan dalam sektor kewangan, meletakkan Malaysia sebagai destinasi unggul untuk pelaburan dan aktiviti pasaran modal.

“Kerajaan telah melaksanakan pelbagai strategi dan inisiatif untuk merealisasikan sasaran utama di bawah Ekonomi MADANI, terutamanya dalam merangka dasar bagi memastikan pertumbuhan mampan, kestabilan kewangan, dan kemakmuran bagi seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Antaranya ialah Peta Jalan Transisi Tenaga Nasional (NETR), Pelan Induk Perindustrian Nasional (NIMP) 2030, Semakan Pertengahan (MTR) Rancangan Malaysia Kedua Belas, dan reformasi ekonomi utama di bawah Bajet Negara 2024.

“Inisiatif-inisiatif ini merangkumi pelbagai kementerian dan agensi kerajaan, fokusnya untuk menaikkan siling dan menaikkan lantai, membuka laluan ke arah pertumbuhan ekonomi yang ketara dan mampan melalui inisiatif yang berkesan,” katanya.

Justeru itu, kerajaan mengalu-alukan penyertaan sektor korporat dalam ekosistem ekonomi negara dengan harapan bagi meningkatkan kekuatan pasaran kewangan negara.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini