comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Prestasi perdagangan Malaysia diunjur pulih tahun depan

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Perdagangan luar Malaysia dijangka pulih secara berperingkat tahun depan walaupun prestasi pada tahun ini mungkin negatif, dengan eksport diunjur merosot 7.6 peratus manakala import susut 8.6 peratus, demikian menurut TA Securities.

Firma penyelidikan pasaran itu berkata, berdasarkan kenyataan terkini oleh Bank Negara Malaysia (BNM), eksport dijangka meningkat dengan stabil, disokong oleh lonjakan semula kitaran industri teknologi global dan pertumbuhan aktiviti pelancongan.

Katanya, laporan unjuran Jualan Semikonduktor Global WSTS bagi tahun depan juga adalah memberangsangkan, dengan lonjakan besar sebanyak 11.8 peratus, berbanding dengan ramalan penurunan 10.3 peratus bagi tahun ini.”Trajektori positif ini mencerminkan kepentingan kemajuan teknologi dan peranan yang dimainkan olehnya dalam memacu perdagangan antarabangsa,” kata TA Securities dalam satu nota penyelidikan.

TA Securities bagaimanapun memberikan amaran bahawa terdapat beberapa faktor yang berpotensi boleh menjejaskan tinjauan perdagangan.Ia berkata, kelembapan ketara di negara-negara maju selain meningkatnya ketegangan geopolitik dan perdagangan mencetuskan risiko kepada kestabilan aliran perdagangan global.

Perdagangan Malaysia melepasi paras RM2 trilion bagi tempoh Januari hingga Oktober 2023 mencecah nilai RM2.181 trilion.Prestasi itu dicapai melalui eksport berjumlah RM1.186 trilion, manakala import bernilai RM995.55 bilion dalam tempoh 10 bulan.

Sementara itu, berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, perdagangan Malaysia pada Oktober 2023 berkembang 6.8 peratus kepada RM239.52 bilion.Eksport meningkat 1.5 peratus kepada RM126.19 bilion dan import mencatatkan pertumbuhan dua angka sebanyak 13.4 peratus kepada RM113.33 bilion.

Lebihan dagangan mencecah RM12.87 bilion, menjadi lebihan dagangan ke-42 bulan berturut-turut sejak Mei 2020.

Loading...
Terkini