comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

[VIDEO] Prestasi ringgit dipengaruhi faktor luaran, sama seperti mata wang serantau – BNM

 

Oleh: Afrina Romzi

KUALA LUMPUR: Prestasi ringgit ketika ini, sama seperti mata wang serantau lain telah dipengaruhi oleh faktor luaran, demikian menurut Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Abdul Rasheed Abdul Ghaffour.

 

“Beberapa faktor ini termasuk pelarasan pasaran kepada perubahan jangkaan kadar faedah AS, kebimbangan geopolitik dan ketidaktentuan yang menyelubungi prospek ekonomi China. BNM berpandangan paras ringgit semasa tidak menggambarkan prospek positif ekonomi Malaysia pada masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, pertumbuhan tahun ini akan didorong peningkatan dalam permintaan luar dan perbelanjaan domestik yang kukuh. Ramalan IMF terkini ialah perdagangan global meningkat kepada 3.3% tahun ini berbanding 0.4% pada 2023..

Bagi Malaysia, eksport telah menunjukkan peningkatan yang berterusan sejak suku keempat 2023. Malah, eksport Januari 2024 yang dikeluarkan baru-baru ini telah menunjukkan peningkatan sebanyak 8.7%.

“Sektor pelancongan telah pulih dengan kukuh dengan ketibaan pelancong pada 2024 dijangka melebihi paras pra-pandemi sebanyak 26 juta. Momentum pelaburan telah meningkat dengan pelaksanaan projek yang diluluskan dalam sektor swasta dan awam,” jelas beliau.

Mencerminkan perkembangan positif ini dan komitmen kerajaan untuk melaksanakan pembaharuan struktur serta jangkaan penurunan kadar faedah dalam ekonomi maju, katanya kebanyakan penganalisis turut meramalkan nilai ringgit akan meningkat tahun ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini