comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Prestasi sembilan bulan pelaburan diluluskan tertinggi 10 tahun, RM225 bilion

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Malaysia merekodkan pelaburan diluluskan RM225 bilion dalam tempoh sembilan bulan 2023, pencapaian tertinggi dalam tempoh 10 tahun.

Menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), pencapaian terbaik dalam tempoh sedekad itu menyaksikan sejumlah 89,495 pekerjaan baharu diwujudkan dalam tempoh Januari hingga September tahun ini.

“Rekod pelaburan diluluskan tertinggi ini adalah lonjakan sebanyak 6.6 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu atau terbaik berbanding purata sembilan bulan berjumlah RM222.6 bilion dalam 10 tahun.

“Daripada RM225 bilion ini, sejumlah 55.9 peratus disumbangkan daripada pelaburan langsung asing (FDI), manakala baki 44.1 peratus adalah pelaburan langsung domestik (DDI),” katanya.

“FDI membentuk 55.9 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan kepada RM125.7 bilion. Belanda muncul sebagai sumber utama FDI, menyumbang RM35 bilion.

“Malaysia turut menarik pelaburan besar dari Singapura (RM20.4 bilion), Amerika Syarikat (RM18.9 bilion), Republik Rakyat China (RM11.6 bilion) dan Jepun (RM11.2 bilion),” katanya.

Kepelbagaian dalam pangkalan pelabur ini menyerlahkan daya tarikan sejagat Malaysia sebagai hab strategik, khususnya untuk rantau ASEAN.

“DDI pula menyumbang RM99.3 bilion, atau 44.1 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan. Ini menunjukkan peningkatan yang mengagumkan sebanyak 45.2 peratus tahun ke tahun, bukti keyakinan pemain tempatan terhadap prospek negara,” katanya.

Loading...
Terkini