comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Produk Pertama Digital perkasa sektor awam

Pertama Digital Bhd

KUALA LUMPUR: Pertama Digital Bhd bercadang untuk melancarkan rangkaian produk digital baharu untuk sektor awam, berasaskan model perniagaan ‘berbayar-untuk-prestasi’ atau ‘pay-for-performance’ dalam tempoh dua tahun akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pertama Digital, Saify Akhtar, berkata pelancaran itu penting kerana ia perlu menunjukkan kaedah kerajaan memperoleh pendigitalan dengan cara yang mampan dan berorientasikan hasil apabila bekerjasama dengan rakan kongsi sektor swasta yang tepat.

Katanya, inisiatif pendigitalan kerajaan itu akan dibangunkan dengan mewujudkan ekosistem yang membolehkan lebih banyak penyertaan sektor swasta, daripada syarikat pemula hinggalah kepada bank.

“Sebaik sahaja produk ini dibuktikan di Malaysia, kami perlukan model ini dieksport ke pasaran baru muncul lain dalam tempoh tiga tahun akan datang, yang mana pendigitalan kerajaan juga amat diperlukan.

“Sebagai CEO, antara keutamaan utama saya adalah mengambil, memupuk dan menyokong bakat untuk mencapai matlamat kami sambil mengekalkan organisasi yang cekap dan fleksibel dari segi sumber.

“Kami berjaya menarik bakat utama daripada syarikat awam lain dan juga kerajaan. Gabungan bakat inilah yang membolehkan kami mendekati pendigitalan kerajaan dengan cara yang unik dan berkesan,” katanya kepada BH.

Saify yang dilantik sebagai CEO Pertama Digital bermula 1 Disember lalu berkata, kumpulan tidak mempunyai perancangan untuk menjadi ‘MyEG kedua’ seperti disebut oleh Pengarah Eksekutifnya pada 2020, iaitu ketika awal pelaksanaan transformasi syarikat itu.

Katanya, MyEG sememangnya sudah mencapai banyak kejayaan dalam tempoh 20 tahun kewujudannya.

“Bagaimanapun, ia bukan syarikat pertumbuhan tinggi. Terdapat lebih 350 agensi kerajaan di negara ini dan MyEG hanya berfungsi untuk sebahagian.

“Syarikat pertumbuhan tinggi menguasai sebahagian besar pasaran secepat mungkin, seperti mana Grab sudah lakukan dengan (industri) pengangkutan dan logistik dalam dekad yang lalu, bukan sahaja di Malaysia, malah di seluruh Asia Tenggara.

“Maka, adalah wajar dan selamat untuk mengatakan bahawa sebagai CEO, saya tidak berada di sini untuk membangunkan MyEG kedua,” katanya.

Saify berkata, MyEG mempunyai lebih daripada 1,000 kiosk dan pusat elektronik di seluruh negara, selain menganggap perkhidmatan konsesi sebagai komponen utama model perniagaan mereka seperti dilaporkan di dalam Laporan Tahunan syarikat itu pada 2021.

“Sebaliknya, Pertama Digital akan kurang menumpukan pada lokasi fizikal dan memberi penekanan yang lebih tinggi untuk menjadikan perkhidmatan kerajaan lebih digital dan mudah alih, boleh dipercayai dan lebih menarik, sejajar dengan cara syarikat perisian internet beroperasi. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini