comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Program BUDI MADANI beri manfaat kepada pekebun kecil – THP

KUALA LUMPUR: Program BUDI MADANI yang diumumkan untuk memberi subsidi diesel bersasar kepada pekebun kecil agro akan memberikan faedah kepada pekebun kecil yang membekalkan buah sawit kepada kilang minyak sawit milik TH Plantations Bhd (THP).

Syarikat perladangan itu dalam satu kenyataan berkata, ia melaksanakan inisiatif membeli buah tandan segar (BTS) sawit daripada pekebun kecil Bumiputera bagi meningkatkan kapasiti kilang sawit miliknya, dan pada masa yang sama, menyumbang pendapatan lebih baik kepada golongan ini.

“Kerjasama strategik bersama pekebun kecil ini adalah pendekatan serampang dua mata yang memberikan pulangan menarik kepada kedua dua pihak, selain menjadi program tanggungjawab sosial korporat (CSR), dengan menyasarkan peningkatan status ekonomi pekebun kecil Bumiputera,” katanya.

THP berkata, inisiatif ini juga mewujudkan rantaian nilai mampan bagi pekebun kecil, THP dan Lembaga Tabung haji (TH).

Ia berkata, berpandukan sambutan yang amat menggalakkan, inisiatif berkenaan sudah dilebarkan hampir ke seluruh enam kilang milik THP yang beroperasi.

Katanya, program ini menyumbang 30 peratus kepada BTS yang diproses oleh kilang-kilang minyak sawit THP.

“Program BUDI MADANI terutamanya kepada pekebun kecil komoditi sawit akan dapat memberikan faedah yang lebih baik kepada mereka yang menggunakan pelbagai jenis pengangkutan persendirian seperti lori kecil untuk mengeluarkan buah sawit daripada ladang-ladang mereka dan menghantarnya ke kilang-kilang sawit milik THP.

“THP menyokong usaha murni kerajaan untuk menambah baik dan mengukuhkan ekonomi negara. Inisiatif ini adalah penting untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan, dan kami akan memberi komitmen untuk menyumbang secara positif kepada matlamat ini,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini