comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Program Geran Komuniti Merdeka 118 cetus perubahan positif 

KUALA LUMPUR: Program Geran Komuniti Merdeka 118 terus memperkasakan masyarakat sekitar dan mencetus perubahan positif di presint Merdeka 118.

Menyusuli kejayaan program sulungnya, geran pusingan kedua ini menghasilkan impak yang lebih besar dengan menyokong lapan projek.

Program Geran Komuniti Merdeka 118 telah dilancarkan pada Jun 2021 oleh PNB Merdeka Ventures, anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB), dengan kerjasama Think City Sdn Bhd.

Pusingan kedua program, yang dilancarkan pada Disember 2022 menerima sejumlah 43 permohonan, dengan 11 telah disenaraikan untuk penilaian teliti oleh Panel Penasihat Teknikal.

Akhirnya, lapan projek telah dipilih yang mencerminkan misi program untuk menggalakkan pelaksanaan inisiatif yang memberikan impak besar dalam kalangan masyarakat.

Ketua Pegawai Eksekutif PNB Merdeka Ventures, Datuk Tengku Ab. Aziz Tengku Mahmud berkata, “Dalam usaha pembangunan Merdeka 118 mencapai mercu jaya baharu, kami meneruskan komitmen kami untuk menyokong jiran-jiran kami.

Menerusi projek yang terpilih di bawah inisiatif ini, kami bukan sahaja menyampaikan geran kepada projek baharu, tetapi juga menyokong projek sedia ada daripada pusingan pertama program untuk memastikan kemajuan dan kejayaan berterusan.

Daripada menyediakan peluang pekerjaan kepada meningkatkan kualiti kehidupan dan meraikan budaya dan warisan kita, kami bertekad untuk meneruskan usaha ini demi pembangunan presint Merdeka 118 dan komuniti yang lebih luas.

Bersama-sama, kita mampu mewujudkan masyarakat yang bertenaga dan terangkum, yang membolehkan semua insan melangkah maju.”

Loading...
Terkini