comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Prolintas Infra BT mula disenarai di Bursa Malaysia

Ikmal Hijaz (kanan) pada majlis penyenaraian Prolintas Infra BT di Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR: Prolintas Infra Business Trust (Prolintas Infra BT), yang diuruskan oleh pengurus pemegang amanah, Prolintas Managers Sdn Bhd menjadi amanah perniagaan pertama yang disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd.

Berdasarkan jumlah unit terbitan Prolintas Infra BT sebanyak 1.1 bilion dan harga tawaran awam awal (IPO) yang bernilai 95 sen seunit, saham itu disenaraikan dengan modal pasaran bernilai kira-kira RM1.05 bilion.

Dagangan saham Prolintas Infra BT meningkat sebanyak 4.2 peratus dan mencapai dagangan pertengahan intra-hari tertinggi pada 99 sen, dengan lebih 34.8 juta unit didagang pada separuh pertama sesi dagangan hari ini.

Pengerusi Prolintas Managers, Datuk Ikmal Hijaz Hashim menyatakan kebanggaannya terhadap pencapaian syarikat menerusi aktiviti penyenaraian Prolintas Infra BT.

“Setelah segala usaha, komitmen dan dedikasi yang tidak terhingga sejak beberapa tahun lalu, akhirnya kami sampai ke saat ini yang bakal merekodkan pencapaian bersejarah dalam industri infrastruktur lebuh raya,” katanya.

Prolintas Infra BT merangkumi empat lebuh raya matang dan berdaya saing tinggi iaitu Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA) dan Sistem Lingkaran Lebuhraya Kajang (SILK) yang menjana aliran tunai yang signifikan (hasil tol) dengan purata baki tempoh konsesi selama kira-kira 32 tahun.

Lebuh raya terbabit terletak secara strategik di sekitar Lembah Klang dan memainkan peranan penting dengan menyediakan laluan alternatif ke jalan raya awam yang sangat sesak atau meningkatkan kesalinghubungan bandar.

Lebuh raya berkenaan memanfaatkan hampir setengah juta pengguna jalan raya setiap hari, mencerminkan kepentingannya dalam merangsang ekonomi negara dan pembangunan sosial.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini