comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Proses Malaysia sertai BRICS akan dipacu Putrajaya

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Keputusan dan proses untuk Malaysia menganggotai BRICS akan dipacu oleh Putrajaya, kata Duta Malaysia ke Russia, Datuk Cheong Loon Lai.

“Saya percaya masih terlalu awal untuk saya memberikan sebarang komen (mengenai perkara ini),” katanya ketika dihubungi oleh BERNAMA.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai hasrat Malaysia menyertai kumpulan BRICS seperti dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin.

Dalam wawancara dengan media China, Guancha, Anwar dilaporkan berkata Malaysia akan memulakan prosedur rasmi untuk menyertai organisasi antara kerajaan itu tidak lama lagi.

“Kami telah menjelaskan dasar kami dan kami telah membuat keputusan,” katanya.

BRICS ditubuhkan pada 2009 sebagai platform kerjasama untuk ekonomi yang sedang pesat membangun merangkumi Brazil, Russia, India dan China dengan Afrika Selatan menyertai kumpulan itu pada 2010.

Pada Januari 2024 pula, Iran, Mesir, Ethiopia, dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menyertai organisasi itu sebagai ahli baharu.

Walaupun Moscow mengalu-alukan anggota baharu BRICS, ia menetapkan kriteria utama bahawa negara yang berhasrat menyertai kumpulan ini tidak boleh mengambil bahagian dalam sekatan unilateral yang tidak sah.

Ditanya mengenai hubungan dua hala Malaysia-Russia, Loon Lai berkata Kedutaan Malaysia di Moscow optimis bahawa hubungan Malaysia-Russia terutama dalam sektor perdagangan akan terus kukuh dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Beliau berkata, hubungan Malaysia-Rusia berjalan dengan sangat baik dan kedua-dua negara akan terus bekerjasama.

“Perdagangan dua hala Malaysia dengan Russia terus berkembang secara stabil, walaupun berdepan landskap ekonomi global yang mencabar.

“Jumlah perdagangan mencecah AS$3.11 bilion pada 2023, berbanding AS$2.79 bilion pada 2022,” katanya. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini