comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Prospek 2023: KDNK sederhana 4%, ringgit capai 4.05 berbanding dolar AS

Ekonomi negara bakal mengukuh pada kadar serdahana tahun ini. – NSTP

Oleh Afrina Romzi

PETALING JAYA: Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) mengunjur ekonomi negara akan menyederhana pada empat peratus tahun ini, berbanding sasaran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) lapan peratus untuk 2022.

Ketua Ahli Ekonomi, Suhaimi Ilias berkata, permintaan domestik dan penggunaan swasta dilihat lebih perlahan berikutan perbelanjaan terpendam semakin berkurang daripada pembukaan semula ekonomi penuh tahun lalu.

“Pertumbuhan penggunaan awam dijangka lebih perlahan, sejajar peruntukan perbelanjaan mengurus kerajaan yang lebih rendah dalam Bajet 2023. Ini selain prospek kemelesetan ekonomi global mengakibatkan pertumbuhan eksport barangan dan perkhidmatan merosot pada tahun 2023,” katanya dalam taklimat media mengenai prospek pasaran secara maya di sini, hari ini.

Maybank IB menjangka Bank Negara Malaysia (BNM) akan menaikkan lagi Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas bulan ini, berdasarkan trend inflasi dan pertumbuhan gaji.

Ini daripada rekod terendah 1.75 peratus untuk mencapai tiga peratus, kembali ke tahap sebelum COVID-19.

Dalam pada itu, pasaran ekuiti tempatan dilihat akan lebih berkembang daripada 2022 yang mencabar.

Penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) disasar untuk mengakhiri tahun pada 1,660, peningkatan 12 peratus daripada paras semasa.

Maybank IB yakin pasaran mampu mengekalkan penilaian yang lebih tinggi di bawah kerajaan perpaduan yang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Penyelidikan Ekuiti, Anand Pathmakanthan berkata, Pakatan Harapan dengan agenda reformasi memberi keterujaan kepada pasaran dari segi pembaharuan dasar dan penstrukturan semula.

“Selain itu, pertumbuhan KDNK akan perlahan tahun ini, tetapi penting untuk diperhatikan bahawa ia adalah positif kepada tahap yang agak besar iaitu empat peratus berbanding kebanyakan negara yang mengalami kemelesetan,” katanya dalam sesi taklimat yang sama.

Dalam pada itu, Ketua Strategi dan Penyelidikan Tukaran Asing Pasaran Global, Saktiandi Supaat berkata, ringgit berpotensi untuk terus mengukuh, mencapai 4.05 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada suku keempat.

“Ringgit terus meningkat sejak kebelakangan ini susulan nilai dolar AS yang lebih rendah, diikuti kekuatan renminbi serta pengurangan kesan ketidakstabilan politik,” katanya pada sesi taklimat itu.

Bagaimanapun, terdapat faktor yang boleh menjejaskan kedudukan ringgit termasuk tindakan luar jangka Rizab Persekutuan (Fed) AS terhadap dasar monetari ataupun kemelesetan ekonomi global.

Loading...
Terkini