comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Proton tidak tergesa-gesa, rancang EV pertama dalam tempoh 5 tahun 

Foto hiasan

Oleh: Afrina Romzi

KUALA LUMPUR: Proton Holdings Bhd (Proton) tidak bertindak tergesa-gesa untuk memasuki pasaran kenderaan elektrik (EV) walaupun mengakui, pasaran dunia termasuk Malaysia kini dalam “demam EV”.

Syarikat automotif nasional itu sebaliknya merancang melancarkan EV menerusi pemasangan tempatan (CKD) pertamanya dalam tempoh 5 tahun.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Roslan Abdullah berkata, syarikat memerlukan masa untuk mengkaji pasaran EV dalam tempoh lima tahun untuk memastikan produk yang berkualiti, serta mengambil kira kemampuan dan keperluan pengguna.

“Jika kami mengeluarkan kereta semata-mata untuk orang ramai bergerak dari titik A ke titik B, produk (EV) itu boleh dijual dengan harga murah tetapi mampukah ia bertahan? Jika kami hanya mengeluarkan sesuatu yang kami mampu hasilkan setakat ini, ia tidak akan bertahan lama. Kami memerlukan kemampanan untuk memastikan industri automotif bergerak ke hadapan, bukan sahaja diterima di Malaysia tetapi juga di negara lain,” katanya kepada pemberita apabila ditemui pada persidangan Invest Malaysia Siri 2, bertajuk ‘The Road to EV’ di sini hari ini.

Kajian turut membabitkan faktor dalaman termasuk pemasaran jualan dan cara pemasangan, sebelum Proton dapat menghasilkan EV yang memenuhi jangkaan pelanggan terutama dari segi harga, kualiti dan pengalaman pelanggan.

Faktor harga ini amat penting kerana pasaran EV di negara ketika ini lebih tertumpu kepada pelanggan berpendapatan tinggi, dengan harga premium dan Proton perlu mengkaji bagaimana produk EV-nya boleh menarik minat pelanggan kelas pertengahan.

Mengulas mengenai cabaran faktor luaran EV, beliau menjelaskan terdapat isu membabitkan komponen dan bekalan susulan krisis semikonduktor yang turut menjejaskan pasaran EV pada masa ini.

Loading...
Terkini