comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

PRU-15: Penganalisis kurangkan sasaran KLCI untuk akhir 2022 berikutan tiada gabungan peroleh majoriti mudah

Foto hiasan.

KUALA LUMPUR: Penganalisis pasaran saham telah mengurangkan sasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mereka untuk akhir 2022 kepada serendah 1,450 mata dengan ketiadaan mana-mana gabungan memperoleh majoriti mudah dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang baru berakhir.

Kenanga Research berkata Malaysia hanya akan membawa satu lagi kerajaan bersama atau kerajaan minoriti, sekali gus menjadikannya amat mencabar untuk inisiatif dasar baharu dan pembaharuan diteruskan.

Dalam nota penyelidikan hari ini, katanya jualan pasaran secara mendadak adalah dijangka berikutan negara mempunyai kerajaan bersama yang terbaik. Itu mengandaikan perjanjian boleh dicapai antara dua atau lebih gabungan untuk membentuk kerajaan bersama.

“Pada akhir Februari 2020 selepas ‘Langkah Sheraton’ yang menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang, meninggalkan negara tanpa kerajaan yang berfungsi dan perdana menteri, FBM KLCI jatuh sebanyak 4.6 peratus daripada 1,537 mata pada pertengahan Februari kepada paras terendah pada 1,467 mata pada 2 Mac, 2020,” katanya.

Oleh itu, Kenanga Research mengurangkan sasaran FBM KLCI untuk akhir 2022 sebanyak tiga peratus kepada 1,450 mata daripada 1,500 mata sebelum ini untuk mencerminkan realiti baharu.

“Bagaimanapun, kami terus menyokong pelabur untuk mencari jaminan dalam sektor yang dipacu dalam negeri termasuk bank, syarikat telekomunikasi, pengeluar/pengedar automotif dan peruncit pasaran pertengahan berikutan cabaran luaran yang semakin meningkat.

“Kami percaya kerajaan hari ini selepas PRU15 akan terus menyokong penggunaan domestik,” katanya.

Sementara itu, CGS-CIMB Securities turut menurunkan sasaran FBM KLCI untuk akhir 2022 kepada 1,484 mata daripada 1,556 mata sebelum ini untuk mencerminkan ketidaktentuan politik jangka pendek. – BERNAMA

Loading...
Terkini