Oleh: Juliana Pija Ismail
PUTRAJAYA: Sistem Inisiatif Kemudahan Rakyat (IKR) yang membolehkan individu atau organisasi memohon secara terus dari Kementerian Ekonomi akan dibangunkan bagi pelaksanaan projek infrastruktur kecil awam di kawasan masing-masing.
Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata, peruntukan yang disediakan adalah sehingga RM200,000 melibatkan projek yang diluluskan pada 2023.
“Kita juga paham bahawa untuk rakyat, kerajaan Persekutuan atau kerajaan negeri kita tidak boleh berkira. Kita perlu utamakan keselesaan rakyat,” katanya pada sidang media Indeks Harga Pengguna (IHP) Julai 2023 di sini, hari ini.
Katanya, kerjasama Pihak Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan diperlukan bagi mengesahkan projek yang dipohon.
Ia bagi melaksanakan projek yang diluluskan dengan kadar segera berasaskan prinsip ‘best value for money’.
Pelaksanaan (IKR) juga bertujuan membantu kontraktor kecil seluruh negara yang akan mendapat manfaat dari projek kecil serta mempercepatkan pelaksanaan projek infrastruktur kecil awam di seluruh negara bagi manfaat rakyat.
Setakat 25 Ogos 2023, Kementerian Ekonomi menerima 3,398 permohonan, dengan 1,491 permohonan diterima daripada pihak individu, 989 daripada organisasi bukan kerajaan dan 918 permohonan diterima daripada organisasi kerajaan, sejak dilancarkan pada 20 Jun lalu.
Jelasnya, berdasarkan permohonan mengikut pecahan negeri, Sabah mencatatkan jumlah projek paling tinggi iaitu sebanyak 909 projek, diikuti Negeri Sembilan 559 projek dan Sarawak 268 projek.
Sebanyak 1,385 projek telah diluluskan.
Senarai 1,385 permohonan telah dikemukakan kepada PBT/agensi pelaksana yang berkenaan untuk semakan sebelum penyaluran dana dibuat.
Permohonan projek yang masih dalam proses semakan akan dikemukakan dalam masa terdekat sebelum dipanjangkan kepada PBT untuk pengesahan.
Dalam pada itu, Rafizi berkata, sebanyak 245 permohonan ditolak kerana tidak memenuhi justifikasi dan syarat permohonan dibawah IKR.