comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Rakyat catat simpanan lebih tinggi – Kaji selidik

Foto hiasan

Oleh: Suzila Idayu Yaacob 

KUALA LUMPUR: Kajian terkini mendapati rakyat Malaysia kini cenderung untuk membuat simpanan lebih tinggi, buat kali pertama selepas Covid-19 melanda.

Ketua Pegawai Eksekutif RinggitPlus, Yuen Tuck Siew berkata trend positif itu dipengaruhi tabiat kewangan yang lebih baik termasuk membayar balik hutang dan merancang perbelanjaan serta persaraan.

“Sebagai contoh, kami bertanya kepada mereka yang telah mengeluarkan wang simpanan daripada Akaun 3 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Apa yang mereka lakukan dengan wang itu? Jawapan mereka sangat menggembirakan dengan mengatakan bahawa mereka telah membayar hutang, mengurangkan perbelanjaan dan menggunakannya untuk menampung peningkatan kos sara hidup harian.

“Jadi saya rasa kita dapat lihat bahawa rakyat Malaysia sangat bertanggungjawab dengan wang yang dikeluarkan,” katanya kepada media selepas mengumumkan dapatan Tinjauan Celik Kewangan Malaysia (RMFLS) 2024.

Tinjauan yang dijalankan oleh RinggitPlus terhadap 3,390 responden mendapati 33 peratus rakyat Malaysia mampu menyimpan lebih RM500 setiap bulan.

39 peratus responden menyatakan mereka boleh bertahan selama empat bulan atau lebih sekiranya berlaku kehilangan pendapatan,

Manakala 47 peratus rakyat Malaysia melaporkan keadaan kewangan yang lebih baik berbanding tahun lalu.

Berdasarkan laporan RMFLS, 55 peratus responden tetap berasa bimbang atau kecewa terhadap kewangan mereka, sekali gus menekankan keperluan untuk disiplin kewangan yang berterusan.

Selain itu, laporan berkenaan turut mendedahkan lebih satu pertiga daripada rakyat Malaysia (38 peratus) dilaporkan berdepan cubaan penipuan kewangan, dengan jumlah keseluruhan mereka yang mengalami cubaan sedemikian berkurang kepada 86 peratus daripada 94 peratus.

Ini membuktikan bahawa usaha kesedaran antipenipuan yang dipacu oleh badan-badan kerajaan Malaysia membuahkan hasil.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini