comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Ramalan OPR naik tidak akibatkan peningkatan “pinjaman tidak berbayar”

Oleh Afrina Romzi

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) diunjur akan meningkatkan lagi kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas menjelang mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) yang dijadualkan esok.

Ketua Pegawai Eksekutif Principal Malaysia, Munirah Khairuddin bagaimanapun berkata, kenaikan ini dilihat tidak akan mengakibatkan peningkatan paras pinjaman tidak berbayar (NPL) berikutan sokongan asas kewangan negara yang kukuh.

“Amatlah penting untuk mengurangkan inflasi. Jika anda melihat kenaikan kadar faedah di Malaysia berbanding Amerika Syarikat sebagai contoh adalah sederhana. Jadi ia (OPR) perlu dinaikkan untuk mengawal sebarang lebihan yang kita telah nikmati,”
katanya pada sidang media di Sidang Kemuncak Principal Asia Pasifik 2022 di sini, hari ini.

Tambah beliau, paras NPL dijangka tidak meningkat susulan bank dan pengguna mempunyai modal yang mencukupi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Pelaburan Principal Asia Tenggara, Patrick Chang berkata, sistem perbankan negara adalah kukuh berikutan kebanyakan bank sudah mengambil langkah untuk mengawal kadar NPL ketika pandemik.

“Dengan persekitaran kadar faedah yang semakin meningkat, pendapatan faedah kebanyakan bank akan meningkat. Jadi pada asasnya berdasarkan hasil, mereka akan meraih jumlah yang sangat ​​teguh,” katanya.

Tambah beliau, ini sekaligus akan memberi persekitaran yang lebih berdaya tahan kepada sektor perbankan.

Loading...
Terkini