comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Rang Undang-undang CCUS dibentang ke Kabinet minggu depan

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Kementerian Ekonomi akan membentangkan Rang Undang-Undang Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) ke Kabinet minggu depan.

Menterinya, Rafizi Ramli, berkata selepas dibawa ke Kabinet, rangka kerja kawal selia itu dijangka dibentangkan di Parlimen pada November ini, sebelum diluluskan.

Katanya, apabila diluluskan kelak, ia dijangka meletakkan Malaysia di kedudukan penting menjadi peneraju industri itu di rantau ini.

“Saya ingin memaklumkan bahawa CCUS akan dibentangkan kepada Kabinet minggu depan dan Parlimen November depan.

“Jelas sekali industri perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE) dijangka menjadi yang pertama menikmati limpahan manfaat daripada pelaksanaan CCUS,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada OGSE100 CEOs Forum di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Malaysia Petroleum Resources Corporation (MPRC), Datuk Dr Ahmad Suhaili Idrus; Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift; dan Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif MPRC, Mohd Yazid Ja’afar.

Mengulas lanjut , Rafizi berkata, melihat kepada tarikan modal yang besar, rangka kerja CCUS amat penting dan diperlukan untuk menarik pelaburan dalam industri berkenaan.

Katanya, dengan anjakan seismik, industri OGSE seharusnya memanfaatkan kepakarannya, untuk meletakkan semula kedudukannya dengan pantas dalam pertumbuhan positif.

“Sememangnya, apabila memulakan strategi baru, terdapat beberapa kreativiti yang diperlukan untuk menggerakkan halangan kewangan awal. Memandangkan sifat industri kita berasingan, langkah untuk menyatukan melalui model usaha sama atau penggabungan dan pengambilalihan (M&A) mungkin tepat pada masanya,” katanya.

Beliau menjelaskan, Kementerian Ekonomi melalui MPRC menjalankan Kajian Separuh Penggal Pelan Tindakan OGSE Kebangsaan akhir tahun ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini