comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Rasionalisasi subsidi, cukai beri kesan kepada permintaan domestik

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Permintaan domestik, yang dijangka kukuh tahun ini, berpotensi terkesan dengan pelaksanaan rasionalisasi subsidi, peningkatan cukai tertentu dan potensi kenaikan inflasi makanan susulan harga komoditi tinggi, kata penganalisis.

BIMB Securities Research berkata, walaupun jangkaan permintaan domestik yang berdaya tahan disokong oleh kadar guna tenaga yang bertambah baik dan peningkatan semula dalam aktiviti pelancongan, pihaknya kekal berhati-hati mengenai potensi risiko penurunan.

Ia berkata, ia susulan kesan daripada inisiatif rasionalisasi subsidi (SRI), kadar Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang lebih tinggi dan peningkatan inflasi makanan.

“Faktor-faktor ini boleh memberi kesan kepada permintaan, terutamanya untuk barangan mewah, yang berpotensi menjejaskan aktiviti penggunaan bagi T20 yang terjejas dan sebahagian daripada kumpulan M40,” katanya dalam nota penyelidikannya.

BIMB Securities Research melahirkan kebimbangan terhadap turun naik tidak menentu harga komoditi global, menjangkakan ketidaktentuan terhadap harga koko, gula dan robusta pada paras tinggi berikutan keadaan cuaca yang tidak menggalakkan di negara pengeluar utama.

Selain itu, ia menjangkakan harga gandum akan meningkat pada 2024 daripada paras semasa yang lebih rendah, didorong oleh gangguan dalam pengeluaran global akibat El Nino, bekalan eksport yang terhad dan ketegangan geopolitik.

“Faktor-faktor ini secara kolektif akan menyebabkan tekanan kos dan marjin terhadap syarikat makanan dan minuman (F&B) di bawah liputan termasuk Kawan Food, Hup Seng dan Nestle.

“Walau bagaimanapun, pasukan ekonomi dalaman kami menjangkakan pemulihan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) kepada RM4.40 sedolar pada 2024, berpotensi menjadi penampan terhadap kenaikan harga komoditi, memandangkan kebanyakan komoditi global diperoleh dan dibeli dalam dolar AS,” katanya.

Namun begitu, BIMB Securities Research berkata, pengukuhan ringgit berkemungkinan mengurangkan pendapatan syarikat berorientasikan eksport seperti Kawan Food dengan pasaran eksport 50 peratus.

Secara keseluruhan, ia berkata, pemain F&B mungkin mengutamakan mendapatkan jumlah jualan yang lebih tinggi berbanding memaksimumkan marjin dalam persekitaran yang mencabar.

Loading...
Terkini