comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Rasionalisasi subsidi langkah berani kerajaan – Penganalisis

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Program rasionalisasi subsidi Malaysia menjadi langkah berani kerajaan untuk meletakkan ekonomi negara dalam landasan yang kukuh, kata penganalisis.

Ketua Ekonomi BIMB Securities Research, Imran Nurginias Ibrahim menyifatkan langkah itu akan menjadi keputusan yang berpandangan ke hadapan, kondusif untuk pertumbuhan ekonomi negara serta kesejahteraan rakyat.

Katanya, kerajaan yang bertanggungjawab harus berani dalam membuat keputusan yang akan meletakkan ekonomi negara berada pada kedudukan yang kukuh pada masa hadapan.

Ia berkata, di Malaysia dan beberapa ekonomi membangun yang lain, subsidi dan kawalan harga telah menjadi ciri penting dalam alat dasar.

Walau bagaimanapun, jelasnya, dengan ekonomi menjadi lebih maju, kos untuk mengekalkan dasar itu semakin meningkat mengatasi manfaatnya.

“Akibatnya, banyak ekonomi membangun telah memulakan rasionalisasi subsidi dan pembaharuan harga.  Program rasionalisasi subsidi adalah sebahagian daripada agenda reformasi yang lebih luas untuk menghapuskan herotan dalam ekonomi, meningkatkan daya saing dan kecekapan pasaran, dan memastikan penggunaan sumber yang terhad dengan lebih optimum.

“Jaringan keselamatan sosial sedia ada juga disemak semula untuk mencapai sasaran dan keberkesanan yang lebih baik,” katanya dalam nota penyelidikannya.

Imran Nurginias berkata, pembaharuan dalam subsidi diperlukan memandangkan dasar tidak dapat tahan dengan ujian berikutan pertumbuhan penduduk dan tidak banyak yang boleh diraikan.

Beliau berkata, pada masa kemerdekaan 1957, populasi di negara ini adalah 6.3 juta dan apabila Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan pada 1971, ia telah berkembang kepada 11 juta.

Katanya, jumlah populasi kini ialah sekitar 34 juta dan dianggarkan meningkat sebanyak 10 juta lagi menjelang 2040.

Jelasnya, melihat semata-mata dari sudut demografi, subsidi seperti yang disediakan pada masa ini tidak mampan dan mengikut data sejarah, bil subsidi pada 1990 ialah RM500 juta, sementara pada 2010, jumlah itu meningkat berlipat kali ganda kepada RM23.1 bilion.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini