comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Ringgit berpotensi terus mengukuh kepada RM4.30-RM4.50 – TA Securities

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Ringgit berpotensi didagang pada nilai saksamanya berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) menjelang akhir tahun ini iaitu jangkaan dalam julat antara RM4.30 hingga RM4.50 sedolar, kata TA Securities.

Ketua Penyelidiknya, Kaladher Govindan, berkata pihaknya masih kekal dengan unjuran awal bahawa ringgit dijangka berpurata sekitar RM4.45 sedolar pada 2024.

Namun, beliau mengakui, pihaknya menyedari ketidakpastian yang wujud dalam landskap ekonomi yang boleh mempengaruhi pergerakan ringgit dalam jangka terdekat.

Justeru, katanya, fleksibiliti dan kebolehsuaian akan menjadi penting dalam mengharungi sebarang cabaran tidak dijangka yang mungkin muncul.

Walaupun kekal dengan pendirian, pihaknya percaya terdapat kemungkinan sedikit penurunan semakan dalam masa terdekat.

“Kami mengekalkan pandangan bahawa ringgit mempunyai potensi untuk berdagang pada nilai saksamanya menjelang akhir tahun, mungkin dalam julat RM4.30 hingga RM4.50 sedolar.

“Kami terus berwaspada, memantau dan menilai perkembangan ringgit secara berterusan. Dalam peristiwa lonjakan yang terlalu mendadak atau peristiwa tidak dijangka yang memberi kesan kepada sentimen pasaran, kami berpendirian bersedia untuk melaraskan purata tahun penuh dengan sewajarnya.

“Kebolehsuaian dan responsif adalah penting dalam menavigasi landskap pasaran mata wang yang dinamik,” katanya dalam nota penyelidikannya.

Mengulas prestasi ringgit pada bulan lalu, Govindan berkata, sehingga akhir April 2024, ringgit menunjukkan prestasi yang lemah dengan ditutup pada RM4.7725 berbanding satu dolar AS.

Beliau berkata, ia mewakili susut nilai sebanyak satu peratus dari bulan ke bulan, berbeza dengan RM4.725 sedolar yang dicatatkan pada akhir Mac 2024.

Katanya, perubahan dalam kadar pertukaran menunjukkan turun naik dalam dinamik mata wang, mencerminkan perkembangan keadaan ekonomi dan faktor luaran yang mempengaruhi penilaian ringgit terhadap dolar AS dalam tempoh itu.

“Beberapa faktor telah mempengaruhi prestasi semasa ringgit. Ringgit kekal di bawah nilai yang ketara, manakala dolar AS mengekalkan daya tarikannya sebagai mata wang lindung nilai berikutan persekitaran kadar faedah AS yang agak tinggi berbanding Malaysia,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini