comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Ringgit bukan berada dalam krisis berbanding kejatuhan 1998

Anjakan julat pergerakan ringgit memberi petanda penting ke atas status ekonomi negara – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Pergerakan ringgit ketika ini menunjukkan mata wang itu bukan berada dalam krisis berbanding kejatuhan pada 1998 yang lalu.

Penganalisis Ekonomi, Profesor Tan Sri Noor Azlan Ghazali, walau bagaimanapun berkata kejatuhan mata wang tempatan itu perlu diperhalusi secara menyeluruh bagi memastikan langkah tepat pengukuhan dapat dilaksanakan.

Beliau yang juga Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia (Minda-UKM) berkata, carta menunjukkan bahawa terdapat elemen lain yang mempengaruhi nilai ringgit selain kenaikan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) dan kelembapan ekonomi global.

Justeru, katanya selain Bank Negara Malaysia (BNM), kerajaan juga perlu memainkan peranan penting dalam mentafsir situasi yang berlaku kepada ringgit.

“Sewajarnya kita perlu memberi perhatian ke atas asas ekonomi negara dan tidak hanya menumpu kepada perubahan di AS dan ekonomi global sebagai penyebab kepada penyusutan ringgit.

“Daya saing negara jelas semakin menurun. Berdasarkan penarafan daya saing global IMD (International Institute for Management Development), Malaysia kini di berada ditangga ke-27 di dunia daripada 63 buah, lebih rendah berbanding 10 tahun yang lalu di tangga ke-15 (2013).

“Walau apa pun hujah kita, kejatuhan daya saing mengesani persepsi global terhadap ekonomi,” katanya.

Noor Azlan berkata, Malaysia perlu segera bertindak bagi memulihkan keyakinan antarabangsa terhadap ekonomi negara dan mesti menjadi antara destinasi pelaburan global yang berkualiti.

Beliau berkata, nilai mata wang boleh terjejas dan mungkin berganjak ke julat yang lebih rendah sekiranya persepsi ini berlanjutan.

Katanya, anjakan julat pergerakan ringgit memberi petanda penting ke atas status ekonomi negara daripada persepsi masyarakat antarabangsa.

“Sejak tambatan kepada dolar AS ditamatkan pada Julai 2005, ringgit berada dalam julat RM2.90 hingga RM3.80 berbanding dolar AS selama hampir 10 tahun. Kemudiannya, bermula pertengahan 2015, ringgit berganjak ke julat yang lebih rendah iaitu RM3.80 hingga RM4.60.

“Sebahagian besar penganalisis hanya melihat kepada pergerakan harian yang tertumpu kepada aliran keluar masuk pelaburan jangka pendek, khususnya dalam pasaran kewangan. Namun pergerakan jangka panjang nilai ringgit jarang dibincangkan,” katanya.

Loading...
Terkini