comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Ringgit dibuka 4.682 berbanding dolar AS pada sesi awal

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Ringgit menyusut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada sesi awal urus niaga Khamis apabila mata wang negara maju itu terus mengekalkan momentum peningkatannya, dipacu oleh data ekonomi terkini yang memberangsangkan, kata ahli ekonomi.

Pada 9.05 pagi, nilai ringgit susut kepada 4.6825/6875 berbanding dolar AS daripada paras  4.6735/6805 pada akhir urus niaga semalam.

Peniaga ActivTrades Dyogenes Rodrigues Diniz berkata pengukuhan dolar AS ternyata ketara selepas pengumuman data tuntutan awal pengangguran AS yang lebih rendah daripada dijangkakan, sekali gus menggambarkan keadaan ekonominya yang berdaya tahan.

“Petunjuk itu mengukur jumlah orang yang memohon insurans pengangguran pada minggu lepas. Pada masa sama, data itu membantu pelabur mendapatkan petunjuk mengenai keadaan pasaran pekerjaan di AS.

“Sebarang bacaan atau angka rendah daripada jangkaan menandakan pengangguran itu terkawal dan hanya menyuntik sokongan terhadap dolar AS,” katanya.

Sementara itu, Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata prestasi Indeks Dolar AS terus meningkat, sekali gus membayangkan prospek dolar AS lemah adalah tipis walaupun terdapat jangkaan kadar faedah lebih rendah.

“Berikutan itu, ringgit dijangka mendatar namun kekal menghampiri paras sokongan segera pada RM4.6611 berbanding dolar AS,” katanya kepada Bernama.

Loading...
Terkini