comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Ringgit dibuka kukuh berbanding Dolar AS

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Nilai ringgit meningkat berbanding dolar AS pada sesi pembukaan pagi ini apabila dolar AS mula lemah selepas saham-saham berkaitan perbankan di Amerika Syarikat (AS) merosot dengan ketara di tengah-tengah kebimbangan mengenai krisis Silicon Valley Bank (SVB), kata seorang penganalisis.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan mengukuh nilai kepada 4.4850/4950 berbanding dolar AS daripada penutup semalam 4.4925/4965.

Ketua Ekonomi, Analisis Pasaran dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pasaran menjangka Rizab Persekutuan akan lebih berpihak kepada pertumbuhan ekonomi pada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan minggu depan berikutan kejatuhan SVB.

“Selain itu, Bank Pusat Eropah pula diunjur lebih kepada menaikkan kadar faedah pada mesyuarat 16 Mac nanti dengan konsensus menunjukkan kenaikan 50 mata asas dalam kadar kemudahan deposit yang kini berada pada 2.50 peratus,” katanya kepada Bernama.

Sehubungan itu, beliau berpendapat ringgit dijangka meningkat berbanding dolar AS hari ini.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya lebih rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan menyusut nilai berbanding pound Britain kepada 5.4551/4673 daripada 5.4292/4340 pada penutup Isnin dan rendah berbanding euro kepada 4.8075/8182 daripada 4.7957/8000, manakala meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.3656/3734 daripada 3.3727/3763 sebelum ini.

Bagaimanapun, ringgit berbanding mata wang Asean yang lain diniagakan lebih tinggi.

Mata wang tempatan menambah nilai berbanding baht Thai kepada 12.9797/13.0158 daripada 12.9819/9994 semalam, meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.3274/3351 daripada 3.3354/3389, mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 291.60/292.40 daripada 292.10/292.25 dan tinggi berbanding peso Filipina pada 8.15/8.19 daripada 8.17/8.18 semalam. – BERNAMA

Loading...
Terkini