comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Ringgit dibuka mengukuh berbanding dolar AS

Gambar hiasan.

 

KUALA LUMPUR: Ringgit mencatat pengukuhan kecil berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Rabu menjelang perkembangan utama seperti Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia (BNM) 2023 yang dikeluarkan hari ini serta keputusan Rizab Persekutuan AS (Fed) mengenai kadar faedah pada lewat malam ini.

Pada 9 pagi, ringgit meningkat kepada 4.7335/7400 berbanding dolar AS daripada paras 4.7350/7390, semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata kalangan penggiat pasaran mahu mendapatkan petunjuk terkini serta prospek bagi 2024 selain keputusan mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS yang berakhir hari ini.

“Bagi laporan BNM, peserta pasaran akan menumpukan butiran, terutamanya unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan inflasi bagi tahun ini.

“Pada masa ini, unjuran bagi pertumbuhan KDNK berada pada empat peratus hingga lima peratus manakala kadar inflasi adalah antara 2.1 peratus dan 3.6 peratus bagi 2024.

“Kami akan melihat jika terdapat sebarang perubahan dengan mengambil kira data terkini serta perubahan dasar di peringkat global dan domestik,” katanya kepada Bernama.

Selain itu, beliau berkata mesyuarat FOMC turut menjadi tumpuan dengan kebanyakan ahli ekonomi mengunjurkan Kadar Dana Fed (FFR) pada 5.50 peratus.

“(Namun) pasaran lebih berminat mengenai garis masa atau tarikh bagi pengurangan pertama membabitkan kadar faedah itu.”Pada Disember lepas misalnya, kakitangan Fed mengunjurkan FFR akan berada pada 4.6 peratus tahun ini yang dianggap sebagai kemungkinan pengurangan sekitar 75 mata asas daripada paras semasa,” katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama.

Unit tempatan itu mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.1310/1358 daripada 3.1420/1451, semalam namun rendah berbanding pound Britain kepada 6.0191/0274 daripada 5.9992/6.0043 serta susut berbanding euro kepada 5.1425/1495 daripada 5.1318/1361.

Ringgit juga kebanyakannya rendah berbanding mata wang Asean.

Ia rendah berbanding baht Thailand kepada 13.1184/1411 daripada 13.1171/1354 semalam, turun berbanding dolar Singapura kepada 3.5261/5315 daripada 3.5249/5281 dan susut berbanding peso Filipina pada 8.48/8.49 berbanding 8.46/8.48 sebelum ini.

Bagaimanapun, ringgit mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 301.1/301.6 daripada 301.2/301.6.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini