
KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS hari ini di tengah-tengah sentimen pasaran yang lemah terhadap mata wang tempatan.
Pada 9 pagi, mata wang tempatan menyusut nilai kepada 4.6325/6385 berbanding dolar AS daripada 4.6265/6350 pada penutup semalam.
Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit juga lemah berbanding pound British dan euro berikutan pendirian di Bank of England dan Bank Pusat Eropah yang cenderung untuk menaikkan kadar faedah.
“Persekitaran luaran kelihatan semakin tidak menentu apabila bank pusat utama kekal bertegas dengan azam mereka untuk menurunkan inflasi.
“Sehubungan itu, gandingan US/Ringgit dijangka kekal sekitar RM4.62 berikutan sentimen pasaran yang lemah,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.