comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS pada sesi awal dagangan hari ini berikutan kekurangan minat.

Pada 9.07 pagi, mata wang tempatan menyusut nilai kepada 4.5250/5285 berbanding dolar AS daripada 4.5175/5200 pada penutup Selasa.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Indeks Dolar AS (DXY) pada awalnya meningkat kepada paras tertinggi 102.41 sebelum turun kepada 102.30 mata semalam.

“Pada masa yang sama, Fitch Rating menurunkan penarafan AAA kerajaan Amerika Syarikat kepada AA+, sambil menyatakan kebimbangan terhadap tadbir urus yang lemah dan rundingan siling hutang yang berpanjangan sebagai faktor utama.

“Meskipun begitu, data ini menunjukkan isyarat bercampur-campur, kerana penurunan penarafan berdaulat biasanya sepadan dengan mata wang AS yang lebih lemah,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata MYR/USD mungkin kekal dalam julat kecil RM4.51 hingga RM4.52 hari ini.

Bagaimanapun, ringgit diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Nilai ringgit menyusut berbanding euro kepada 4.9766/9804 daripada 4.9584/9612 pada penutupan dagangan Selasa tetapi mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.1623/1650 daripada 3.1666/1686 semalam dan lebih tinggi berbanding pound Britain kepada 5.7839/7883 daripada 5.7892/7924 sebelumnya.

Pada masa yang sama, mata wang tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang Asean yang lain. -BERNAMA

Loading...
Terkini