comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS 

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS pagi ini apabila peserta pasaran terus mengelak daripada mengambil risiko berikutan prospek ekonomi global yang semakin mencabar, kata seorang penganalisis.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan menyusut nilai kepada 4.6565/6590 berbanding dolar AS daripada 4.6535/6575 pada penutup Isnin.

Menurut Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid, beliau percaya ringgit dijangka lemah berbanding dolar AS walaupun terdapat langkah-langkah rangsangan yang menggalakkan oleh China.

China telah meningkatkan langkah untuk melonjakkan ekonomi negara yang goyah, dengan bank-bank terkemuka membuka jalan untuk pemotongan selanjutnya dalam kadar pinjaman, termasuk melonggarkan sekatan ke atas pembelian rumah.

“Sementara itu, harga minyak mentah meningkat kerana ahli OPEC+ diramal mengekalkan bekalan yang ketat untuk menyokong harga. Justeru, hala tujunya agak kabur tetapi satu perkara yang pasti ialah kecenderungan Rizab Persekutuan AS (Fed) untuk menaikkan kadar faedah akan mengekalkan dolar AS pada paras yang lebih tinggi,” kata Mohd Afzanizam kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit dibuka kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Loading...
Terkini