
KUALA LUMPUR: Ringgit didagangkan dalam julat sempit apabila dolar AS terus mengukuh di tengah-tengah sentimen berhati-hati berikutan kebimbangan pelabur terhadap prospek ekonomi global yang suram.
Pada 9 pagi, mata wang tempatan menyusut nilai kepada 4.6715/6760 berbanding dolar AS daripada penutupan Selasa pada 4.6615/6655.
Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata hasil Perbendaharaan AS yang lebih tinggi turut menjejaskan permintaan terhadap mata wang sedang pesat membangun.
Sekuriti Perbendaharaan AS bertempoh panjang mencatatkan hasil yang lebih tinggi sebanyak lapan mata asas kepada 4.26 peratus, manakala Indeks Dolar AS (DXY) meningkat 0.52 peratus kepada 104.776 mata.
Beliau berkata data Eropah menunjukkan Indeks Pengurus Pembelian (PMI) untuk ekonomi perkhidmatan rendah daripada jangkaan pada 47.9 mata untuk Ogos, manakala Indeks Harga Pengeluar (IHP) merosot 7.6 peratus pada Julai.