comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Ringgit Dibuka Rendah Berbanding Dolar AS

Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR: Ringgit terus mencatatkan momentum penurunan sejak minggu lepas untuk dibuka rendah berbanding dolar AS hari ini berikutan pelabur memberi tindak balas terhadap data pekerjaan Amerika Syarikat (AS) yang positif yang dikeluarkan minggu lepas, kata penganalisis.

Pada 9.01 pagi, mata wang tempatan merosot kepada 4.4860/4900 berbanding dolar AS daripada 4.4855/4870 pada Jumaat.

Bagaimanapun, menurut Kenanga Research, walaupun laporan pekerjaan AS baik dan jangkaan pasaran mengenai satu lagi kenaikan kadar faedah sebanyak 75 mata asas oleh Rizab Persekutuan AS (Fed), unit tempatan dijangka diniagakan kukuh pada paras 4.47-4.48 berbanding dolar AS pada minggu ini.

“Ringgit dilihat mendapat manfaat daripada potensi kenaikan Kadar Dasar Semalaman sebanyak 25 mata asas oleh Bank Negara Malaysia dan jangkaan kenaikan kadar faedah sebanyak 75 mata asas oleh Bank Pusat Eropah.“

Bagaimanapun, potensi kelembapan dalam eksport China dijangka menjejaskan yuan, memberikan tekanan penurunan terhadap ringgit,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Kenanga Research berkata ringgit merosot berbanding dolar AS pada minggu lepas, sebahagian besarnya berikutan kekurangan pemangkin yang menyokong ringgit dan prospek ekonomi global yang kurang menggalakkan.

“Indeks USD diniagakan pada paras 108.7-109.7 berikutan kenyataan Pengerusi Fed Jerome Powell yang menyokong kadar faedah tinggi dan krisis tenaga di Eropah yang semakin teruk.

“Selain aliran selamat yang berterusan terhadap dolar AS, ringgit terjejas oleh penurunan yuan yang berterusan (sekitar 6.90 setiap dolar AS) berikutan China melanjutkan sekatan pergerakan di bandar Chengdu,” katanya. – BERNAMA

Loading...
Terkini