
KUALA LUMPUR: Ringgit memulakan urus niaga Khamis dengan lebih rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) berikutan aktiviti pengambilan untung terhadap unit tempatan itu susulan prestasi peningkatannya yang ketara, baru-baru ini, kata penganalisis.
Pada 9.20 pagi ini, ringgit diniagakan rendah pada paras 4.69600/7015 berbanding dolar AS daripada paras 4.6695/6755, semalam.
Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata di peringkat luaran misalnya, data AS terus memaparkan keadaan ekonomi yang tepu apabila jualan runcitnya jatuh 0.1 peratus bagi bulan ke bulan pada Oktober iaitu penurunan pertama sejak Mac lepas.
Namun, katanya, kadar jangka pendek lebih tinggi dengan hasil Perbendaharaan dua tahun AS meningkat lapan mata asas kepada 4.91 peratus berikutan keadaan pasaran yang kekal berhati-hati terhadap unjuran depan Kadar Dana Persekutuan bagi masa akan datang.
Dalam pada itu, Jepun menyaksikan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku ketiga 2023 menguncup 0.5 peratus bagi suku ke suku dan mewajarkan langkah bank pusatnya untuk mengekalkan dasar monetari yang longgar.
Selain itu, Indeks Harga Pengguna (IHP) Eropah terus menyederhana kepada 4.0 peratus tahun ke tahun pada Oktober daripada 4.9 peratus sebelum ini, sekali gus membayangkan bahawa kadar faedah Bank Pusat Eropah juga telah menghampiri paras kemuncaknya.