comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS, ekoran hasil perbendaharaan AS yang tinggi 

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Nilai ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS berikutan permintaan yang lebih baik untuk dolar AS selepas dirangsang oleh hasil AS yang kukuh, kata penganalisis.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan menyusut nilai kepada 4.4520/4565 berbanding dolar AS daripada penutup Jumaat lalu pada paras 4.4335/4370.

Hasil 10 tahun AS dilaporkan meningkat sebanyak enam mata asas (bps) kepada 3.94 peratus sementara hasil dua tahun naik 12 mata asas kepada 4.81 peratus.

Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata hasil AS yang lebih tinggi dan sentimen risiko yang tidak menentu akan memberi kesan negatif kepada ringgit.

“Perubahan sentimen berikutan laporan deflator Indeks Harga Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE) teras yang lebih kukuh daripada jangkaan, menambah kebimbangan mengenai keperluan untuk kadar terminal Rizab Persekutuan (Fed) yang lebih tinggi,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.2670/2706 daripada 3.2804/2833 pada Jumaat lepas dan menambah nilai berbanding pound Britain kepada 5.3246/3300 daripada 5.3308/3350 sebelumnya.

Nilai ringgt menyusut sedikit berbanding euro pada 4.6986/7034 daripada 4.6933/6970 dan jatuh berbanding dolar Singapura kepada 3.2990/3026 daripada 3.2970/3001 pada penutup Jumaat.

— BERNAMA

Loading...
Terkini