comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS menjelang keputusan OPR BNM

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR– Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS untuk hari keenam berturut-turut hari ini kerana peniaga masih mengambil sikap berhati-hati menjelang keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai kadar dasar semalaman (OPR), kata seorang peniaga.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan menyusut nilai kepada 4.7410/7460 berbanding dolar AS daripada penutup Rabu pada 4.7360/7400.

Peniaga ActivTrades Dyogenes Rodrigues Diniz berkata pelabur kini sedang menunggu keputusan mengenai kadar faedah Malaysia yang akan diumumkan lewat hari ini.

Kadar faedah dijangka dinaikkan daripada 2.5 peratus kepada 2.75 peratus.

Selain itu, pergerakan ringgit turut dipengaruhi oleh pengumuman Rizab Persekutuan AS berkenaan satu lagi kenaikan kadar faedah dan memberi isyarat untuk kenaikan lebih kecil akan menyusul pada masa hadapan.

Rizab Persekutuan telah menaikkan kadar pinjaman penanda aras sebanyak 0.75 mata peratusan, daripada 3.25 peratus kepada 4.0 peratus pada hari Rabu.

Pada sidang akhbar yang diadakan Rabu, Pengerusi Rizab Persekutuan Jerome Powell membayangkan pendirian yang akan diguna pakai oleh bank pusat AS pada masa hadapan.

“Powell berkata dia masih tidak melihat elemen-elemen yang memerlukan penangguhan dalam kenaikan kadar faedah tetapi keputusan yang lebih konkrit akan diambil pada mesyuarat seterusnya pada bulan Disember,” kata Diniz.

Di dalam negara, ringgit didagangkan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ringgit menambah nilai berbanding euro kepada 4.6566/6615 daripada 4.6910/6950 pada penutup Rabu dan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.3456/3496 daripada 3.3551/3584 semalam.

Nilai mata wang tempatan turut tinggi berbanding pound Britain kepada 5.4019/4076 daripada 5.4445/4491 dan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.2169/2205 daripada 3.2185/2214 sebelumnya. BERNAMA

Loading...
Terkini