comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS 

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS hari ini berikutan peningkatan mata wang Amerika Syarikat (AS) itu yang dilihat terhad dalam persekitaran minat untuk mengambil risiko yang lebih baik dalam kalangan peserta pasaran, kata penganalisis.

Pada 9 pagi, unit tempatan berada pada 4.3915/3995 berbanding dolar AS daripada 4.3950/4000 pada Rabu.

Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata jangkaan pasaran terhadap sekatan COVID-19 China yang longgar terus mengukuhkan Politburo China, yang telah mempercepatkan persediaannya untuk pembukaan semula secara sepenuhnya, sekali gus membantu menaikkan ringgit dengan lebih kukuh.

“Langkah China untuk keluar daripada sifar-COVID akan memberi banyak manfaat kepada pengeksport barangan pengguna dan perkhidmatan pelancongan Asia ke China, justeru ringgit dan Baht Thailand akan mencatatkan prestasi yang baik dan ini akan menjadi faktor utama yang memacu prestasi pertukaran asing Asia pada 2023,” katanya kepada Bernama.

Dalam perkembangan lain, katanya hasil 10 tahun AS merosot dengan ketara dan berdasarkan ringgit akan menerima impak daripada prestasinya, ini dilihat sebagai positif untuk peniaga tempatan.

Sementara itu, peniaga ActivTrades Dyogenes Rodrigues Diniz berkata pelabur masih tidak pasti mengenai apa yang dapat dijangka daripada Rizab Persekutuan AS (Fed) dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Katanya pelabur sedang menunggu data mengenai Tuntutan Pengangguran Awal AS dan Indeks Harga Pengeluar (IHPR) yang akan dikeluarkan yang boleh memberikan gambaran lanjut mengenai hala tuju pasaran.

“Dari aspek teknikal, dolar AS masih menunjukkan Indeks Kekuatan Relatif (RSI) di bawah 30 berbanding ringgit, menunjukkan situasi lebihan jualan apabila pergerakan meningkat boleh bermula dalam tempoh beberapa hari akan datang,” katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Unit tempatan merosot berbanding pound kepada 5.3559/3656 daripada 5.3320/3381 pada Rabu dan rendah berbanding euro kepada 4.6111/6195 daripada 4.6055/6108 semalam.

Ia berkurangan berbanding dolar Singapura kepada 3.2364/2428 daripada 3.2323/2365 pada Rabu dan susut berbanding yen Jepun kepada 3.2142/2205 daripada 3.1936/1974 sebelum ini. – BERNAMA

Loading...
Terkini