
KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS dan matawang ASEAN utama menjelang data inflasi Amerika Syarikat (AS) dikeluarkan, disokong oleh harga minyak yang meningkat, kata seorang penganalisis.
Pada 9 pagi, matawang tempatan naik kepada 4.6720/6760 berbanding dolar AS daripada 4.6755/6805 pada Selasa.
Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata ringgit dibuka lebih kukuh berikutan aktiviti pengambilan untung dolar yang panjang dan harga minyak yang tinggi disebabkan gangguan bekalan susulan bencana banjir di Libya.
“Peniaga membeli banyak dolar AS sejak dua minggu lepas berikutan ekonomi AS yang berdaya tahan dan hasil AS yang lebih tinggi.
“Berdasarkan pengumuman Indeks Harga Pengguna (IHP) AS merupakan peristiwa yang berisiko tinggi untuk pasaran mata wang, peniaga mengurangkan risiko dolar AS sekiranya data lebih rendah daripada jangkaan dan dolar akan dijual dengan agak agresif,” katanya kepada Bernama.
Pada masa sama, Innes berkata data ekonomi China menunjukkan tanda-tanda stabil, yang positif untuk pasaran pertukaran asing Asia, tetapi tumpuan tetap kepada IHP AS yang akan dikeluarkan malam ini, yang dijangka akan memberikan dolar hala tuju jangka pendek yang seterusnya.
Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding sekumpulan mata wang utama. – BERNAMA