comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Ringgit Dijangka Mengukuh Berbanding Dolar AS, Suku Kedua 2023 – Ambank Research

Foto hiasan.

KUALA LUMPUR : Nilai ringgit seharusnya mula mengukuh berbanding dolar AS mulai suku kedua tahun hadapan dan seterusnya serta berada pada paras 4.40 pada suku keempat 2023 memandangkan  dolar AS dijangka memasuki tempoh kitaran penurunan, kata AmBank Research.

Firma penyelidikan itu berkata ringgit telah menyaksikan nilai paling lemah berbanding dolar pada 31 Mac 1998 iaitu pada 4.88.

“Tekanan menaik ke atas mata wang kekal dan ini disebabkan oleh halangan luar dan dalaman (domestik). Kami menjangkakan ringgit untuk terus lemah pada suku pertama 2023 kepada paras  4.80 dolar AS,” katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.

AmBank Research seterusnya mengunjurkan perbezaan kadar faedah antara Malaysia dan Amerika Syarikat akan mengecil pada separuh kedua 2023.

“Dengan kelembapan yang amat ketara atau risiko kemelesetan di AS, kami melihat potensi penurunan semula kadar oleh Rizab Persekutuan pada separuh kedua 2023.

“Melihat pada anggaran pengurangan 100 mata asas (bps) pada separuh kedua 2023,  ini bermakna perbezaan kadar faedah akan turun daripada puncak 1.25-1.50 peratus kepada 0.25-0.50 peratus,” katanya.

Selain itu, firma penyelidikan itu berkata ekonomi domestik akan lebih jelas selepas Pilihan Raya Umum ke-15.

“Ini bermakna kesan-kesan positif Rancangan Malaysia ke-12, pelaburan langsung asing,
pelaburan langsung domestik, aktiviti domestik, eksport dan pengurusan inflasi yang lebih baik serta Bajet 2023 harus memberikan keselesaan yang diperlukan untuk ekonomi berkembang sekitar 4.5 peratus pada 2023,” katanya.

Mengimbas kembali prestasi ringgit tahun ini, AmBank Research berkata kenaikan kadar secara agresif oleh Rizab Persekutuan pada 2022 dengan tujuan untuk membendung inflasi boleh memberi manfaat kepada ringgit.

Mata wang itu menyusut sebanyak 13.5 peratus setakat  25 Okt 2022 walaupun Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan kadar dasarnya sebanyak 75 mata asas terkumpul untuk mencapai 2.50 peratus sehingga Oktober 2022. – BERNAMA

Loading...
Terkini