
KUALA LUMPUR: Ringgit mengakhiri urus niaga Khamis dengan hampir mendatar berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) susulan penurunan harga minyak mentah walaupun Bank Negara Malaysia (BNM) memutuskan untuk mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 3.0 peratus, kata penganalisis.
Pada 6 petang, ringgit berada di paras 4.6755/6795 berbanding dolar AS daripada 4.6720/6765, semalam.
Ketua Ahli Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata meskipun keputusan Jawatankuasa Dasar Monetari BNM mengekalkan OPR pada mesyuarat hari ini dijangkakan ramai, tindakan itu jelas menunjukkan kecenderungan bank pusat itu terhadap kadar faedah lebih rendah.
Beliau berkata, tindakan itu juga menunjukkan bahawa BNM tidak lagi melihat dasar yang lebih akomodatif, sebaliknya aspek tersebut telah dilaraskan dengan keadaan inflasi dan pertumbuhan semasa.
“Sehubungan itu, ringgit diunjur kekal rendah berbanding dolar AS berikutan (pada masa sama) Rizab Persekutuan AS (Fed) sebaliknya berkemungkinan mengekalkan pendirian (untuk menaikkan kadar faedah).
“Kita berkemungkinan mendapat maklumat lebih jelas apabila pihak Jawatankuasa Pasaran Terbuka Fed mengadakan mesyuarat pada 19-20 Sept, 2023, untuk berkongsi unjuran ekonomi terkini mereka,” katanya kepada Bernama.