comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Ringgit ditutup kukuh berbanding dolar AS

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini didorong data perumahan Amerika Syarikat (AS) yang lemah, yang dikeluarkan dalam laporan bersama oleh Jabatan Perumahan dan Pembangunan Bandar AS dan Biro Banci AS semalam.

Pada 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.6690/6725 berbanding dolar AS daripada 4.6785/6830 semasa ditutup semalam.

Rakan Kongsi Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata data perumahan itu telah menguatkan lagi jangkaan kepada penurunan kadar oleh Rizab Persekutuan (Fed) AS pada suku kedua 2024.

“Jangkaan kepada penurunan kadar ini telah mewujudkan tekanan penyusutan terhadap hasil AS dan dilihat sebagai menyokong ringgit.

“Bagaimanapun saya menjangka sebarang peningkatan tambahan mungkin mengalami kekangan menjelang pengeluaran data inflasi perbelanjaan pengunaan peribadi (PCE) AS lewat minggu ini,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, beliau berkata sekiranya data inflasi AS lebih rendah daripada jangkaan, ini berpotensi menyumbang kepada pengukuhan ringgit, mendorong sehingga di bawah paras 4.65.

Pada penutupan dagangan, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama. – BERNAMA

Loading...
Terkini