
KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup lebih tinggi berbanding dolar US hari ini berikutan selera risiko dalam pasaran terjejas oleh sentimen berwaspada.
Pada 6 petang, mata wang tempatan itu meningkat kepada 4.6385/6430 berbanding dolar US daripada 4.6435/6485 yang dicatatkan semalam.
Seorang peniaga berkata para pedagang mula berwaspada menjelang ucapan pengerusi Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) Jerome Powell pada Simposium Jackson Hole malam ini, seterusnya, mengubah permintaan ke arah mata wang lain.
Sementara itu, Ketua Ekonomi dan Ketua Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata peserta pasaran akan memantau dengan teliti ucapan beliau kerana ia dijangka memberi lebih banyak petunjuk mengenai hala tuju dasar monetari AS.
“Pasaran dilihat tidak mempunyai hala tuju sejak beberapa hari lepas dan pelabur sedang mencari petunjuk baharu untuk dolar US serta ringgit,” katanya kepada Bernama.