
KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS apabila mata wang Amerika Syarikat (AS) itu kekal kukuh hampir di paras tertingginya dalam tempoh enam bulan menjelang pengumuman kadar beberapa bank utama dunia pada minggu ini terutamanya daripada Rizab Persekutuan AS (Fed).
Penurunan ringgit itu juga sejajar dengan prestasi mata wang serantau apabila sentimen kekal lemah di tengah-tengah kebimbangan terhadap pasaran hartanah China yang sedang bergelut, kata seorang peniaga.
Pada 6 petang, ringgit turun kepada 4.6870/6915 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.6815/6845 pada Jumaat minggu lalu.
Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata walaupun Fed dijangka mengekalkan kadar tidak berubah, namun terdapat kemungkinan satu lagi kenaikan kadar pada lewat tahun ini kepada jajaran 5.50 hingga 5.75 peratus.
“Ini akan memberikan lagi sokongan kepada dolar,” katanya kepada Bernama.
Mengenai perkembangan lain, beliau berkata pemaju China, Country Garden Holdings Co, berdepan dua ujian besar pada Isnin termasuk tarikh akhir awal untuk membayar faedah ke atas bon dolar dan penghujung pengundian pemiutang terhadap permintaannya untuk melanjutkan pembayaran dengan nota dalam denominasi yuan.
Walaupun mutakhir ini terdapat petanda pertumbuhan dan inflasi berada di paras terendahnya di tengah-tengah langkah-langkah yang diambil China untuk meningkatkan keyakinan pelabur, namun dana asing keluar dari pasaran secara besar-besaran, katanya. — BERNAMA