comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Ringgit ditutup pada 4.726 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR: Ringgit mengakhiri urus niaga Selasa dengan mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), menjejaki prestasi mata wang serantau Asia Tenggara susulan laporan China berhasrat mendapatkan dana bagi merangsang pasaran serta sentimen pelabur.

Pada 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.7265/7290 berbanding AS daripada paras 4.7280/7335, semalam.

Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata laporan media mengenai hasrat China menyuntik US$279 bilion dalam bentuk sokongan fiskal bagi merancakkan pasaran, sekali gus meletakkan yuan mendahului dalam pasaran tukaran asing berbanding dolar AS.

“Terdapat jangkaan bahawa ringgit berkemungkinan meningkat dalam kumpulan mata wang Asean sekiranya langkah rangsangan China itu menjadi kenyataan,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, Innes mengingatkan bahawa halangan terbesar terhadap ringgit adalah penetapan semula jangkaan penurunan kadar faedah Rizab Persekutuan AS bagi Mac yang menyebabkan pasaran tukaran asing tempatan kekal berhati-hati.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit dijangka kekal dalam julat kecil pada masa terdekat ini ketika Bank Negara Malaysia (BNM) diunjur mengekalkan kadar dasar semalaman pada 3.0 peratus dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) esok.

“Penilaian terkini BNM mengenai tahap ekonomi negara akan menjadi tumpuan, terutamanya mengambil kira perkembangan di Laut Merah serta konflik berterusan di Timur Tengah,” katanya.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama.

Unit tempatan itu susut berbanding yen Jepun kepada 3.1994/2013 daripada 3.1918/1957 pada akhir urus niaga semalam, rendah berbanding pound Britain kepada 6.0159/0191 daripada 6.0065/0134 namun mengukuh berbanding euro kepada 5.1457/1485 daripada 5.1516/1576, sebelum ini.

Ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang Asean, termasuk rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.5283/5304 daripada 3.5252/5298 semalam, meningkat berbanding baht Thailand kepada 13.2395/2521 daripada 13.2493/2706 sebelum ini dan mengukuh sedikit berbanding rupiah Indonesia kepada 302.2/302.4 daripada 302.3/302.8.

Berbanding peso Filipina, ringgit hampir tidak berubah pada 8.41/8.42 daripada 8.40/8.42, semalam.

Loading...
Terkini