
KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS selepas ditutup dalam julat negatif minggu lepas berikutan angka senarai gaji bukan ladang (NFP) Amerika Syarikat (AS) pada Julai yang rendah, kata seorang penganalisis.
Pada 6 petang, mata wang tempatan merosot kepada 4.5575/5625 berbanding dolar AS daripada 4.5515/5565 pada Jumaat lepas.
Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata tumpuan minggu ini adalah pada Indeks Harga Pengguna (IHP) untuk bulan Julai.
“Anggaran konsensus pada kadar inflasi 3.3 peratus yang lebih tinggi daripada pertumbuhan 3.0 peratus pada Jun.
“Sehubungan itu, pasaran mungkin masih bimbang sama ada Rizab Persekutuan akan mengekalkan pendirian pengukuhan mereka semasa terdapat tanda-tanda ekonomi lemah. Itu menjadikan dolar AS disokong dengan baik,” katanya kepada Bernama.
Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata dolar AS telah menunjukkan pengukuhan secara menyeluruh, yang mungkin disebabkan oleh daya tahan pertumbuhan dan hasil AS yang tinggi.
“Bagaimanapun, terdapat risiko ekonomi AS berkembang pada kadar yang tidak mampan, yang menjelaskan hasil dan dolar AS boleh kekal stabil atau meningkat, walaupun terdapat kemajuan ke arah mencapai keseimbangan yang lebih baik antara inflasi dan pertumbuhan.