
KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS hari ini berikutan mata wang dolar itu pulih daripada penurunan terendah dalam lebih dua bulan awal minggu ini didorong oleh data jualan runcit Amerika Syarikat (AS) yang lebih kukuh daripada jangkaan.
Data pada Oktober sekali lagi mencetuskan ketidaktentuan haluan kadar faedah AS, kata seorang peniaga.
Pada 6 petang, ringgit merosot kepada 4.6850/6910 berbanding dolar AS 4.6695/6755 ketika ditutup pada Rabu.
Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit lemah pada sesi pagi dan berada pada RM4.7175 berbanding dolar AS tetapi pulih pada tengah hari kepada RM4.6890.
“Sentimen pasaran masih bertumpu kepada langkah seterusnya Rizab Persekutuan AS, yang menyaksikan kadar AS menghampiri kemuncaknya. Esok, pasaran dijangka bertumpu kepada pengumuman suku ketiga Kadar Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia, sama ada pertumbuhan 3.3 peratus mampu dikekalkan berdasarkan anggaran awal,” katanya kepada Bernama.
Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata mata wang tempatan itu mengalami penurunan yang tidak ketara ketika dibuka berikutan hasil AS semalaman yang meningkat didorong oleh jualan runcit AS yang kukuh daripada jangkaan.
Bagaimanapun, hasil itu mula berkurangan apabila pasaran membuat kesimpulan jualan runcit itu jauh daripada kecenderungan menaikkan kadar faedah, mengambil konteks angka Indeks Harga Pengguna yang lemah.