
KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini berikutan permintaan sederhana, menjejaki sentimen positif di pasaran ekuiti walaupun unit negara maju mengukuh, kata penganalisis.
Pada 6 petang, mata wang tempatan meningkat kepada 4.6865/6920 berbanding dolar AS daripada 4.6890/6940 sewaktu ditutup pada Khamis.
Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata sentimen itu juga telah merangsang seketika pasaran Asia berikutan China dikatakan membenarkan peratusan lebih tinggi bagi pelaburan asing dalam syarikat tempatan, sekali gus menjadi berita baik kepada pasaran tempatan.
“Di peringkat tempatan, inflasi keseluruhan Indeks Harga Pengguna Malaysia (IHP) secara umumnya tidak berubah iaitu mesej yang bercampur-campur kepada pasaran mata wang. Malah, ia adalah berita baik kepada ekonomi,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit dilihat menerima sokongan memberangsangkan pada RM4.6875 hari ini manakala indeks dolar AS (DXY) meningkat 0.21 peratus kepada 105.586 mata.
“Ringgit yang berada dalam kedudukan terlebih jual mungkin menyebabkan aktiviti belian dalam kalangan peniaga,” katanya.
Ringgit diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.