Tumpuan :
Detik Niaga

Ringgit jatuh berikutan ketidaktentuan politik, ekonomi global

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Ringgit diniagakan rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada sesi pembukaan hari ini dengan permintaan terhadap mata wang AS itu meningkat berikutan ketidaktentuan politik dan ekonomi global, kata ahli ekonomi.

Pada 8 pagi, ringgit susut kepada 4.3850/3995 berbanding dolar AS daripada 4.3800/3850 pada Jumaat lalu.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, sentimen pasaran kekal berhati-hati berikutan peniaga terus menganalisis potensi impak terhadap ekonomi secara keseluruhan berikutan Presiden AS yang baharu akan dilantik pada Januari tahun depan.

“Terdapat juga kekecewaan terhadap langkah-langkah rangsangan ekonomi China yang diumumkan minggu lalu berikutan kekurangan butiran untuk meningkatkan permintaan domestik,” katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata, dari aspek teknikal, ringgit telah berada dalam kedudukan terlebih jual, menunjukkan risiko penurunannya adalah terhad.

“Bagaimanapun, berdasarkan sentimen pasaran yang kekal berhati-hati, permintaan terhadap dolar AS akan berterusan dengan Indeks Dolar AS (DXY) meningkat kepada 105.007,” katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia meningkat berbanding pound kepada 5.6628/6815 daripada 5.6943/7255 pada Jumaat lalu dan naik berbanding euro kepada 4.6977/7132 daripada 4.7347/7606 sebelum ini.

Bagaimanapun, ringgit merosot berbanding yen Jepun kepada 2.8675/8774 daripada 2.8637/8795.

Mata wang tempatan diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang ASEAN.

Ia meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.7880/8411 daripada 12.8947/12.9767 sebelum ini, bagaimanapun susut berbanding peso Filipina kepada 7.52/7.55 daripada 7.47/7.51 pada Jumaat lalu dan berkurangan berbanding rupiah Indonesia kepada 279.7/280.8 daripada 278.6/280.3 sebelum ini.

Ia turut rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.3022/3136 daripada 3.3207/3394 pada Jumaat lalu.-BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini