comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Ringgit jatuh jadi perdebatan di Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR: Isu kejatuhan nilai ringgit berbanding negara serantau menjadi perhatian dalam perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, petang ini.

Perkara itu turut dibahaskan Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) yang menggesa kerajaan mengambil tindakan segera untuk memperbaiki keadaan yang dilihat amat menggusarkan rakyat.

Dalam perbahasannya, beliau berkata, jawapan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai isu terbabit sukar diterima.

“PM (perdana menteri) sebut dua perkara yang bagi saya agak janggal. Apabila pemberita tanya, beliau mengatakan, tanyalah Gabenor Bank Negara. Ini tak pernah berlaku dalam sejarah.

Sepatutnya sebagai Menteri Kewangan beliau yang perlu jawab. Kedua, beliau ada berkata, (kejatuhan ringgit) ketika ini tak sama seperti yang berlaku pada 1998. Ya, memang tak sama. Pada 1998, nilai Ringgit Malaysia (RM) jatuh kerana krisis kewangan Asia. Bukan ringgit saja terjejas tetapi mata wang Thailand, Korea, Indonesia dan beberapa negara lain juga jatuh. Ini semua kita faham,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Membandingkan situasi semasa nilai ringgit yang menyusut teruk, beliau berkata, Malaysia berada di belakang kebanyakan negara serantau lain.

“Kejatuhan RM (ringgit) lebih teruk dari rupiah (Indonesia), peso (Filipina), rupee (India) dan dong (Vietnam). Kejatuhan mata wang yang lebih teruk dari RM (ringgi) hanyalah yen (Jepun), ruble (Russia) dan lira (Turkiye).

“Jika hendak dibandingkan dengan China, mata wang kita jatuh sebanyak 3.1 peratus, manakala dengan Thailand, sebanyak 4.8 peratus. Berbanding Euro pula, kita jatuh 8.3 peratus, dolar Singapura hampir 7 peratus dan dolar Amerika Syarikat, 6.2 peratus,” katanya.

“Kerajaan sepatutnya beri fokus kepada usaha menangani kelemahan dalam negara sendiri yang memberi kesan kepada ringgit daripada memberi ‘attribute’ ringgit lemah kepada faktor luaran,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Ismi Mat Taib (PN-Parit) yang membahaskan isu sama turut menggesa kerajaan mengambil tindakan wajar supaya rakyat tidak ‘diheret’ dalam krisis kos sara hidup yang semakin memburuk.

“Kenaikan tarif elektrik, bayaran air, Indah Water, harga beras, dan kos sara hidup lain yang bertambah ini bukan berita palsu. Ia benar-benar berlaku. Apatah lagi kebanyakan rakyat ketika ini sedang melakukan persiapan untuk pembukaan sekolah.

“Justeru, saya mencadangkan Kerajaan Persekutuan menangguhkan kenaikan kadar Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) ekoran apa yang berlaku dengan kejatuhan nilai ringgit ketika ini.

“Penangguhan SST yang naik daripada kadar enam ke lapan peratus perlu, sebagai langkah segera untuk kawal kadar inflasi,” katanya.

beliau turut menggesa Perdana Menteri memberi penjelasan mengenai pelaburan asing yang dilaporkan meningkat secara ketara, iaitu RM329.6 bilion.

“Saya mohon Perdana Menteri kemukakan kepada Dewan mengenai jumlah sebenar pelaburan yang berlaku daripada awal Kerajaan Perpaduan (ditubuhkan) sehingga hari ini.

“Kenapa perlu kita mansuhkan pencen, naikkan SST, sedangkan pelaburan asing naik begitu tinggi. Perlu saya ingatkan yang ghairah dengan angka ini, pelaburan asing adalah jumlah yang diluluskan, bukan angka sebenar,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini