comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Ringgit mampu pulih kepada RM4.66 sedolar akhir November

Mata wang tempatan mungkin meneruskan pengukuhannya berbanding dolar AS. – Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Ringgit yang kini berlegar di atas paras RM4.70 bagi satu dolar Amerika Syarikat (AS) dijangka berupaya mengukuh ke paras RM4.66 sedolar hujung bulan ini, kata penganalisis.

Ia berikutan kestabilan politik selepas pilihan raya, terutamanya dengan penguatkuasaan Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (Akta A1663) yang melarang Ahli Dewan Rakyat bertukar parti.

Kenanga Research menjangkakan ringgit berbanding dolar AS berada pada paras RM4.57 sedolar tahun ini berbanding RM4.17 pada 2021.

Ia berkata, mata wang tempatan mungkin meneruskan pengukuhannya berbanding dolar AS pada Disember berikutan potensi Rizab Persekutuan AS (Fed) memperlahankan kenaikan kadar faedah dan kelemahan bermusim dolar AS.

“Walaupun masih berlegar di atas paras RM4.70 sedolar ketika ini, mata wang tempatan dijangka mengukuh menghampiri paras RM4.66 menjelang akhir November, terutama berikutan kestabilan politik pasca pilihan raya,” katanya dalam nota penyelidikan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 November ini sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Kenanga Research berkata, ringgit menyusut ke paras terendahnya menghampiri paras purata RM4.70 berbanding dolar AS pada Oktober.

Ia berkata, mata wang tempatan itu terjejas terutamanya oleh ketidaktentuan politik domestik yang semakin meningkat berikutan pembubaran Parlimen pada 10 Oktober.

Jelasnya, ia juga berikutan premium hasil perbendaharaan Malaysia dan AS dalam jajaran sempit, yang mana secara purata pada Oktober adalah sebanyak 45 mata asas dan pada September sebanyak 67 mata asas. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini