comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Ringgit melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh 34 bulan

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Selasa ke paras tertinggi dalam 34 bulan, selepas China mengumumkan pakej rangsangan yang bertujuan mencergaskan kembali ekonominya.

Pada 6 petang, ringgit mengukuh kepada 4.1550/1605 berbanding dolar AS, naik berbanding 4.2000/2060 ketika ditutup pada Isnin, menandakan kenaikan tahun setakat ini sebanyak 10.49 peratus.

Ini adalah paras tertinggi ringgit ketika ditutup sejak 11 November 2021, pada paras 4.1525/1545 ketika itu.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata People’s Bank of China (PBOC) mengumumkan pelbagai langkah sokongan monetari, termasuk keperluan rizab bank dan penurunan kadar feadah, serta langkah untuk menyokong pasaran hartanah.

“Pengumuman itu sedikit sebanyak mengurangkan kebimbangan terhadap ekonomi China berikutan ia bergelut untuk mencapai sasaran pertumbuhan lima peratusnya,” katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata pengumuman mengenai kadar inflasi Malaysia yang lebih rendah dari jangkaan semalam menunjukkan bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) berkemungkinan mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada paras semasanya untuk baki 2024 dan berpotensi ke 2025.

BNM menunjukkan langkah berhemat dalam dasar monetarinya, dengan kekal berwaspada terhadap risiko inflasi, katanya.

— BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini