comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Ringgit mengukuh berbanding dolar AS dalam ketidaktentuan pasaran

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Ringgit mengakhiri urus niaga Selasa dengan mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dalam ketidaktentuan pasaran selepas data pembuatan negara maju itu mencatat prestasi lemah bagi Mei, sekali gus membayangkan kemungkinan kadar faedah dikurangkan pada tahun ini.

Pada 6 petang, ringgit naik kepada 4.7005/7030 berbanding dolar AS daripada 4.7050/7080 pada akhir urus niaga Jumaat lalu.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata ringgit meningkat berbanding dolar AS selepas pengumuman indeks pembuatan Institut Pengurusan Bekalan AS yang susut kepada 48.7 mata pada Mei.

Perkembangan itu hanya membayangkan kemungkinan Rizab Persekutuan (Fed) AS akan bertindak mengurangkan kadar faedah utama pada tahun ini.

“Meskipun ringgit positif hari ini, tahap ketidakpastian sebaliknya kekal tinggi. Malah, lebih banyak data pasaran pekerjaan AS akan diumumkan kelak, terutamanya Jumaat ini membabitkan laporan gaji bukan perladangan,” katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata, kesemua pengumuman data ekonomi AS itu akan memberi kesan penting ke atas pertimbangan mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) yang dijadualkan pada minggu depan.

“Kadar Dana Persekutuan kekal pada 5.50 peratus minggu depan, namun pasaran akan menumpukan tindakan Fed serta unjuran terbaru mengenai kadar faedah untuk tiga tahun akan datang.

Pendirian itu akan mempengaruhi jangkaan pasaran dalam masa terdekat,” katanya.
Sewaktu ditutup, ringgit diniagakan rendah berbanding kumpulan mata wang utama.

Ringgit susut berbanding euro kepada 5.1099/1126 daripada 5.1035/1068 pada Jumaat lalu, rendah berbanding pound Britain kepada 5.9988/6.0020 daripada 5.9876/9914 serta turun berbanding yen Jepun kepada 3.0293/0311 daripada 2.9901/9922.

Selain itu, ringgit kebanyakannya rendah berbanding mata wang negara ASEAN lain, termasuk turun berbanding baht Thailand kepada 12.8443/8568 daripada 12.7860/7994 sebelum ini.

Unit tempatan itu juga susut berbanding dolar Singapura kepada 3.4868/4889 daripada 3.4803/4828 dan rendah berbanding rupiah Indonesia kepada 289.7/290.0.

Ringgit bagaimanapun mengukuh berbanding peso Filipina kepada 8.00/8.01 daripada 8.03/8.05 pada Jumaat lalu.

Pasaran ditutup semalam bersempena cuti umum Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

-BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini